KERANA BERBADAN GEMUK, JODOH MENJAUH?

Wednesday, 20 February 2019



Saya masih ingat lagi.


Ketika kawan-kawan sebaya... 
Dah pun mula pandai usik mengusik & bercerita tentang 'kekasih'?


Pada saat kawan-kawan sepermainan... 
Ajak main sanding-bersanding?


Fikiran & hati saya sementah-mentahnya menolak idea sebegitu.


Di depan, saya menunjukkan reaksi geli geleman.


Tetapi, hakikat sebenarnya di dalam kepala saya? 
Saya berasa sangat mustahil untuk berpeluang lalui saat-saat itu.


Saya menjangkakan... 
Tak akan ada lelaki yang akan tertarik dengan saya. 
Takkan ada yang boleh menganggap saya sebagai perempuan yang disukai.


Bayangkanlah.


Sewaktu kawan-kawan perempuan di sekolah sibuk menerima & membalas surat daripada peminat dikalangan lelaki. Yang suratnya sengaja diletakkan di dalam laci meja belajar di dalam kelas? 


Saya pula selalu mendapat ejekan.
Malah dijadikan bahan gurauan dikalangan sebahagian lelaki.


Syukurnya waktu tu, perangai tomboy saya agak terserlah. 
Walaupun di hati terasa agak pedih, saya membalas ejekan itu dengan gelaran yang mereka juga tidak suka. 


Kebudak-budakan sangat.
Lagipun tak ada siapa pun yang saya suka lebih dari kawan.


Eh, tak kuasalah!


BERJANJI UNTUK TIDAK BERKAHWIN


Saya tak berapa pasti kenapa.
Pernah, saya dan salah seorang kawan karib saya... saling berjanji untuk tidak berkahwin.


Padahal, kawan saya ketika itu di antara yang selalu mendapat perhatian & surat peminat dari kalangan lelaki.


Tapi, akhirnya?
Sebaik sahaja menamatkan persekolahan menengah?


Kawan saya yang telah lama tak berhubung, telah tiba-tiba menelefon saya.
Dan dia telah menyatakan maaf kerana tidak dapat menunaikan janji.
Kerana seorang lelaki yang merupakan graduan universiti masuk meminang dirinya.


Dan dia sekeluarga telah menerimanya.


Saya sedikit tergelak.
Tak sangka janji itu masih diingatinya.


Apa yang jadi pada saya ketika itu?


Saya masih struggle dengan masalah kegemukan akibat selera makan yang besar. Seperti yang saya ceritakan di dalam entri sebelum ini. Untuk baca entri tersebut boleh KLIK SINI.


Dalam masa yang sama.
Saya membayangkan mungkin saya tak berpeluang untuk bertemu dengan lelaki yang menyukai saya. Seperti yang di alami oleh teman saya.


LELAKI IDAMAN TAK PATUT KACAK


Ketika saya bergelut dengan masalah kenaikan & penurunan berat badan yang terlampau kerap?


Ada di antara kawan saya yang juga berbadan gempal, berada di dalam satu relationship yang serius dengan seorang lelaki yang rupa parasnya cuma biasa-biasa.


Kawan saya itu, walaupun berbadan gempal tapi wajahnya persis gadis arab... Dan dia tidak menggunakan kelebihannya untuk menerima lelaki berupa paras yang menyukainya.


"Sebab... lelaki kacak kebanyakannya playboy" jawabnya memberi alasan bila di tanya kenapa menolak sebahagian lelaki.


Saya tak pernah dihampiri mana-mana lelaki. 
Lagipun, dengan latar pendidikan sekolah menengah agama menjadikan saya sangat tak terbiasa untuk berkawan baik dengan kebanyakan lelaki.


Pesan salah seorang guru.


"Tak mengapa menjual mahal pada lelaki.
Yang benar-benar serius, pasti dekati"


Dalam percaya tak percaya.
Saya cuba ikut nasihat itu.


Hasilnya?
Setiap kali berhadapan dengan lelaki.
Lagak saya seperti seorang yang sombong.


Kadang-kadang terfikir.


"Kalau macam nilah gaya... tak ada lelaki yang berani dekat"


Lebih memburukkan keadaan? 
Saya sangat tak konfiden dengan terutama dengan masalah kegemukan & penampilan diri.


Rasa-rasanya yang bermain dalam hati. 


"Pasti selamanya aku membujang..."


RAMAI RAKAN SEBAYA MENDIRIKAN RUMAH TANGGA


Di saat ramai dikalangan rakan sebaya mula sibuk mendirikan rumah tangga?


Allah saja tahu risaunya hati ni bila tahun berganti tahun.


Kakak & abang-abang kandung pula semuanya bernikah ketika masing-masing sekitar usia 23-25 tahun. 


Saya ketika itu, telah pun tamat pengajian di peringkat degree. 
Bukan setakat seorang fresh graduate. 
Hati ini juga sebenarnya masih fresh rasa terluka.


Sedangkan lelaki biasa-biasa boleh permainkan hati?


Bagaimana saya boleh meletakkan harapan untuk bertemu lelaki yang luar biasa sebagai jodoh?


Kalaulahh nak letak matlamat bertemu lelaki luar biasa atau biasa-biasa itu, rasanya mustahil?


Mungkinkah saja saya perlu bersedia menerima lelaki yang selalu di tolak ramai perempuan.


Saya fikir?


"Yalah, dah orang lain reject.
Mungkin di antara itulah yang saya patut terima?
Mungkin itulah jodoh saya?"


Betapa teruknya masalah rendah diri yang melanda diri saya ketika itu.
Terutamanya akibat dibelenggu masalah berat badan.


Dalam memberontak, hati cuba pasrah seandainya, suatu masa nanti kalau-kalau memang lelaki sebegitu yang selayaknya jodoh dari Allah untuk saya.


Setiap hari memujuk hati.
Setiap hari berdoa.


Dan...
Ketika itu saya cuba persiapkan fizikal & mental untuk sebarang kebarangkalian tentang jodoh yang bakal masuk.


DOA


Doa saya?

Biarlah bagaimanapun rupa lelaki itu?
Doa saya pada Allah... biarlah memandangnya menjadikan hati ini tenang.


Biarlah bagaimana tahap keserasian dengan lelaki itu?
Doa saya pada Allah... bantulah suburkan kasih sayang antara kami, keranaNya.


Biarlah apa pun sejarah lepas hidup lelaki itu?
Doa saya pada Allah... jadikan hati ini redha menerimanya, sama-sama perbaiki diri, malah... sama-sama sudi membina keluarga yang di berkati & diredhai Allah.


Biarlah lelaki itu mungkin tersangat jauh dari ciri-ciri lelaki yang pernah diidam-idamkan...

Doa saya pada Allah... semoga Allah jadikan hati ini sabar melayari bahtera perkahwinan di dunia. Dan semoga syurga FirdausNya kelak tersedia sebagai hadiah untuk saya. 


ANDALUSIA KAH AKU?


Pada tahun 2016.
Ketika itu.
Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi.
Maka, usia saya bakal mencecah 30 tahun.


Dalam hati jadi gusar teramat, rasa penantian untuk bertemu jodoh dirasakan hampir-hampir mustahil.


Saat tu, terbayang di pengakhiran hidup kelak bakal tinggal sebatang kara.


Andalusia kah gelaran aku nanti?
Anak.dara.lanjut.usia???


Na'uzubillah.


Hanya Allah yang tahu betapa keinginan untuk hidup bahagia & berkeluarga tak pernah padam. 


Tapi, waktu tu.
Saya tak dapat bayangkan.
Tak dapat terfikir bagaimana cara Allah aturkan seandainya ada jodoh yang sedang menanti.


Tak nampak di mana kebarangkaliannya akan berlaku.


Yang paling menakutkan, sebelum-sebelum ni... tak pernah sekali sepanjang hidup saya didekati lelaki yang betul-betul serius.


Terutama dari segi tindakan & tingkah lakunya.


Makin takut untuk terus memikirkannya.


Mungkin ada betulnya... dunia ni ketandusan lelaki yang baik.
Mungkinkah... takdir jodohku bukan di dunia?


Tak mampu saya nafikan.
Monolog dalam diri tak pernah terhenti.


Terfikir juga... ada kemungkinan ke semua ni berlaku sebab kata-kata sombong bongkak ketika dulu... konon-kononnya tidak ingin berkahwin?


Bila difikirkan tentang cerita gagal bersatu dengan orang yang diharapkan?


Aduhai... remuknya hati.


Harapan jadi semakin kabur.


REDHA & PASRAH


Sampai di satu peringkat hidup?
Saya fikir ada baiknya berhenti berfikir tentang jodoh.


Ada jodoh ataupun tidak?


Siapa saya hendak melawan takdir?



Untuk sampai ke peringkat redha dengan ketentuan jodoh dari Allah itu, bukanlah sesuatu yang mudah.


Kena banyak memujuk.
Kena banyak mendidik akal & hati.

Supaya sentiasa bersangka baik terhadap Allah. 


Akhirnya... bila sampai masanya?
Kerisauan itu beransur hilang.


Malah, segenap perasaan & tubuh badan bersedia menerima apa saja dariNya.
Lebih-lebih lagi takdir jodoh itu adalah sesuatu yang diluar kemampuan akal untuk menjangkakannya... 


JODOH YANG DINANTI


Saya selalu mendengar cerita.
Jodoh itu selalunya diluar jangkaan.
Ia datang tanpa disangka-sangka.


Akhirnya...
Di saat saya tekad untuk fokus memperbaiki diri & kehidupan.
Di saat saya cuba fokus membina kerjaya di negeri orang.


Allah telah pertemukan dengan seorang lelaki.
Seorang yang saya pernah kenal.
Pernah beberapa kali bertembung dengannya.
Cuma 2-3 kali dalam tempoh jarak masa bertahun lamanya.


Aturan pertemuan dari Allah cukup indah.
Kalau diceritakan, seolah-olah semuanya kebetulan.
Jalan ceritanya dari awal seperti kebetulan.


Tapi, saya sangat meyakini.
Tak ada kebetulan yang berlaku di dalam kehidupan.
Melainkan segalanya telah disusun secantik-cantiknya oleh Allah.


Alhamdulillah.
Semua berjalan sangat lancar.
Walaupun ada beberapa halangan yang menduga.
Segalanya diselesaikan & dipermudahkan Allah.


Sampai saat ini saya terfikir lagi.


Kalaulah manusia tahu kebaikan/kenikmatan yang Allah ingin beri di sebalik ujian yang bertimpa-timpa dalam kehidupan?


Sudah pasti semua manusia takkan pernah bersedih saat diuji.
Pasti, takkan ada air mata yang terbazir walaupun setitis.


Tapi, begitulah kehidupan.
Kadang-kadang Allah sengaja sembunyikan hikmah besar yang sebenar, untuk melihat siapa yang benar-benar meyakiniNya.


USAHA


Bila bercakap tentang jodoh?
Jangan sesekali ingat rupa paras & fizikal diri yang menentukan jodoh sepadan.


Seandai berasa diri tersangat kurang berbandingkan orang lain?
Jangan cuba membayangkan ketidakadilan dari Allah.


Sebaliknya?


Teruskanlah dengan usaha memperbaiki diri.
Carilah jalan penyelesaian terbaik.


Percayalah.


Allah selalu memberikan yang paling sesuai.
Selalu memberikan yang terbaik lagi tepat, mengikut keadaan semasa kita.


Kesimpulannya?


Berbadan gemuk bukanlah penyebab kepada tak berjodoh.
Tapi, alangkah lebih baik kalau kita berusaha untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat.


Sekaligus, memberi peluang kepada diri untuk hidup sihat & bahagia lebih lama di samping insan-insan tersayang.


InsyaAllah.


Hadiah Paling Berharga Dari Allah







0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © KHAYLA JAYYID | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top | Sign in